Polis redah hujan edar juadah sahur

IPOH – Konvoi bermotosikal 40 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sanggup meredah hujan lebat bagi mengedar 70 juadah sahur kepada anggota bertugas, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, program Kembara Sahur yang diketuai beliau sendiri telah melawat ke enam balai polis mengagihkan bungkusan makanan sekaligus merapatkan silaturrahim bersama anggota di lapangan.

Menurutnya, walaupun keadaan cuaca tidak begitu baik, ia tidak menjadi halangan kerana diiringi oleh anggota trafik bagi memastikan kelancaran perjalanan.

 

“Enam balai yang dilawati ialah Balai Polis Bukit Merah, Lahat, Simpang Pulai, Tambun, Pekan Baru dan Sungai Senam.

“Kita mahu meraikan mereka yang bertugas membuat sekatan jalan raya dan rondaan cegah jenayah sama ada berkereta atau bermotosikal mahupun tanpa pakaian seragam,” katanya.

Mohd Ali (depan, kanan) mengetuai konvoi motosikal menjayakan Kembara Sahur IPD Ipoh semalam.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta konvoi Kembara Sahur di pekarangan IPD Ipoh di sini.

Mohd Ali berkata, program seumpama itu akan diteruskan sebagai komitmen warga IPD Ipoh untuk bersama anggota bertugas.

“Aktiviti melibatkan kumpulan bermotosikal kecil ini akan diteruskan lagi untuk program lain seperti cegah jenayah dan berjumpa orang ramai menerusi Program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP),” katanya

– SINAR HARIAN –