Polis rampas 14 senjata tiruan di Kota Sentosa

KUCHING – Polis merampas 14 senjata tiruan yang menyerupai AK47 dan tiga
pucuk pistol di Taman Tema, Kota Sentosa kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, dalam
serbuan pada 3.45 petang itu, polis menahan seorang lelaki berusia 37
tahun, yang merupakan pemilik premis tersebut.


“Semasa pemeriksaan dibuat, didapati kesemua barangan rampasan itu
disimpan di belakang kaunter bayaran.

“Siasatan awal mendapati senjata tiruan tersebut disewakan dengan kadar
bayaran RM15 hingga RM25 seorang untuk permainan ‘Gel Blaster’, pemain
akan diberikan peluru berbentuk gel yang direndam dalam air dengan
jumlah anggaran 400 biji,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Aidil, difahamkan suspek membeli senjata api tiruan itu dari China
dengan harga RM150 hingga RM500.

Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api
1960. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.