Polis patahkan kegiatan Pati

ALOR GAJAH – Kelicikan dua tekong darat warga tempatan yang menggunakan
chalet sebagai transit membawa masuk 17 pendatang tanpa izin (Pati),
berjaya dibongkarkan Polis Daerah Alor Gajah pada 29 Disember lalu.

Tangkapan dibuat hasil risikan dan operasi bersama Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan dan Jabatan Imigresen
Melaka yang dilakukan di sebuah Chalet di Pengkalan Balak, jam 12 tengah
hari.

Ketua Polis Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, dalam serbuan itu,
polis telah menahan keseluruhan seramai 22 orang termasuk 17 lelaki dan
empat Pati perempuan, dua tekong tempatan masing-masing berusia 28 dan
30 tahun, dua tekong laut warganegara Indonesia serta seorang perempuan
dipercayai pemilik chalet terbabit berusia 28 tahun.


Menurutnya, kesemua Pati yang ditahan kerana melakukan kesalahan di
bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan
Migran (ATIPSOM).

“Daripada risikan dan hasil maklumat yang kita perolehi, aktiviti
membawa masuk dan keluar Pati termasuk mereka yang tamat pasport
dipercayai dilakukan orang tempatan berdasarkan kelicikan mereka yang
lebih mengetahui selok belok air pasang surut selain waktu rondaan pihak
berkuasa bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu.

“Pulau Konet di Kuala Sungai Baru juga kita dapati dijadikan sebagai
‘port’ transit untuk mereka melakukan kegiatan ini, sama ada pada waktu
siang ataupun malam,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis
Daerah Alor Gajah, di sini sebentar tadi.

Tambahnya, seramai 42 Pati juga ditahan dalam tempoh 20 Disember tahun
lalu hingga 1 Januari lalu dalam serbuan berasingan di daerah ini.

– SINAR HARIAN –

Leave a Reply

Your email address will not be published.