Polis minta peserta ‘Himpunan Aman Julang Perlembagaan’ pindah ke Stadium Kajang

KUALA LUMPUR: Penganjur dan peserta Himpunan Aman Julang Perlembagaan, yang dijadualkan esok diminta untuk memohon kebenaran berhimpun selain menukar lokasi perhimpunan mereka.

Ini berikutan lokasi perhimpunan yang bakal diadakan itu adalah di hadapan Kolej Universiti New Era, Kajang, Selangor, yang juga lokasi penganjuran kongres bertajuk ‘Bantah Tulisan Jawi di Sekolah Vernakular’ dianjurkan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata setakat ini himpunan Himpunan Aman Julang Perlembagaan yang dianjurkan oleh Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) masih belum memaklumkan polis mengenai himpunan berkenaan.

“Perkara ini adalah menjadi satu kesalahan kerana mereka belum menghantar sebarang notis pemakluman untuk berhimpun dan kita tidak akan membenarkannya mereka mengadakan perhimpunan itu kerana ia berada di kawasan terbuka.

“Susulan itu, Polis Selangor mengarahkan penganjur Himpunan Aman Julang Perlembagaan menukar lokasi mereka ke sebuah stadium di Kajang,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Noor Azam, berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia dalam memastikan himpunan yang bakal diadakan di kawasan stadium itu dalam keadaan selamat dan terkawal.

“Kami sudah menyiapkan segala fasiliti keselamatan dan akan memastikan perjalanan perhimpunan dalam keadaan terkawal dari semua aspek termasuk kawalan lalu-lintas,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya perhimpunan yang bakal diadakan di hadapan kolej Universiti New Era berlangsung, ia berkemungkinan akan mencetuskan suasana tidak aman serta boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Sehingga jam 11 pagi tadi, PERKASA dan AGRA dilaporkan belum menghantar sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan.

Menerusi poster yang tersebar dalam media sosial, Himpunan Aman Julang Perlembagaan ini dijadualkan bermula jam 6 pagi, dimulakan dengan solat Subuh berjemaah disusuli kuliah Subuh yang dijadualkan setengah jam kemudian manakala acara perhimpunan dijadualkan bermula jam 7 pagi.

– BERITA HARIAN –

(Visited 82 times, 1 visits today)