Polis marin tumpaskan kegiatan korek pasir haram di Sibu

KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima menumpaskan satu kegiatan mengorek pasir secara haram dalam Ops Pensura di kawasan perairan Sg Bukit Aup, Batang Igan dekat Sibu semalam. Komander PPM Wilayah Lima Sarawak, ACP N Kalai Chelvan, berkata serbuan itu pada jam 2.30 petang, turut membawa kepada rampasan pasir dan peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan itu dianggarkan bernilai RM4.5 juta.

“Semasa menjalankan tugas risikan dan Ops Pensura yang diketuai ASP Muhammad Sallam bersama empat anggota Unit Risikan Marin dan tiga anggota PPM Sarikei menggunakan dua buah bot, pasukan operasi menahan sebuah bot tunda dan sebuah tongkang yang sedang menjalankan aktiviti pengorekan pasir.

“Setelah diperiksa lanjut, didapati kapal tersebut beroperasi tanpa permit atau lesen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata PPM Wilayah Lima kemudian merampas bot tunda, tongkang, dua buah kren serta muatan pasir berkenaan. Beliau berkata, semua suspek serta rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Sarikei dan kes disiasat di bawah Seksyen 32A Kanun Tanah Negeri Sarawak.

Kalai Chelvan berkata, dalam operasi yang sama, pasukannya turut menahan tiga pekerja lelaki bot tunda dan tongkang, dua daripada warga negara India dan seorang warga Sri Lanka selepas mendapati mereka melakukan kesalahan permit kerja. “Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sg Merah, Sibu. Mereka telah ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.