Polis marin Sandakan rampas 2, 600 biji telur penyu seludup

SANDAKAN: Sebanyak 2,600 telur penyu yang hendak diseludup ke daerah ini dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di pesisir pantai Kampung Forest dekat sini, hari ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Madun, berkata nilai rampasan telur penyu itu dianggarkan RM3,120.

Katanya, anggota PPM yang melakukan rondaan di kawasan itu pada jam 4 pagi, mengesan dua lelaki menaiki sebuah bot pam memunggah barang ke pantai.

Kedua-dua lelaki itu bagaimanapun melarikan diri dengan menggunakan bot pam itu sebaik menyedari kehadiran anggota PPM, katanya dalam kenyataan, di sini.

Mohamad berkata, hasil pemeriksaan menjumpai enam bungkus plastik hijau dan dua karung guni berisi telur penyu disyaki diseludup dari negara jiran untuk pasaran gelap di daerah ini.

Katanya, telur penyu itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.