Polis lepas tembakan tahan lelaki bawa dadah [VIDEO]

KUALA LUMPUR: Polis melepaskan lima das tembakan dalam usaha memberhentikan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipandu seorang lelaki yang cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis berhampiran Terowong Bukit Kiara di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, pemandu 4WD itu pada mulanya diarah berhenti oleh anggota pasukan polis peronda (MPV) selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuching, di sini.

Bagaimanapun, suspek sebaliknya terus memecut masuk ke arah Bangsar seterusnya masuk ke Lebuhraya LDP hala ke Damansara dan masuk ke Terowong Bukit Kiara.
Ketika di dalam terowong, suspek beberapa kali menghimpit kenderaan MPV dan memandu secara berbahaya sebelum membaling pemotong besi ke arah kenderaan polis.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy, berkata anggota MPV kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek menyebabkan 4WD itu terlanggar pembahagi jalan dan berhenti.
“Suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan ketika anggota kita cuba menahan suspek sehingga memaksa polis melepaskan tembakan menggunakan ‘taser gun’ (senjata renjatan elektrik) ke arahnya.
“Pemeriksaan ke atas badan suspek kemudian menemui ketulan kristal disyaki dadah jenis eramin 5,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, suspek yang berusia lewat 30-an mengalami cedera ringan di muka dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk tindakan susulan.
“Semakan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
– BERITA HARIAN – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.