POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan eksesais temu duga bagi konstabel polis gred YA1 (lelaki) untuk calon yang sudah melepasi ujian integriti pada siri lalu.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata, semakan status kelayakan untuk menghadiri temu duga berkenaan boleh dibuat menerusi sistem semakan dalam talian, sso.rmp.gov.my, mulai 5 petang, pada 24 Mei ini.
Beliau berkata, hanya calon terpilih akan menerima surat panggilan yang akan menyatakan tarikh dan lokasi temu duga itu.
Katanya, calon terpilih dikehendaki mencetak surat panggilan itu, hadir pada tarikh serta lokasi dinyatakan dalam surat panggilan dan tidak dibenarkan menukar tarikh serta lokasi temu duga.
“Selain itu, mereka perlu hadir ke lokasi temu duga sebelum 7.30 pagi.
“Calon terpilih juga perlu menyediakan semua keperluan dinyatakan dalam surat panggilan termasuk maklumat peribadi dua orang ahli keluarga terdekat kecuali ibu bapa dan adik-beradik dan dua rakan karib dengan tempoh persahabatan melebihi lima tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Asmawati berkata, calon terbabit wajib berkemeja putih, bertali leher hitam, berseluar gelap dan berkasut hitam ketika menghadiri sesi temu duga.
“Calon tidak dibenarkan memakai jeans, kemeja-T dan selipar.
“PDRM berhak menolak mana-mana calon yang gagal memenuhi syarat ditetapkan dan sebarang keputusan adalah muktamad,” katanya.
– HARIAN METRO –