Polis ditikam dengan pemutar skru

ANGGOTA polis cedera dipercayai ditikam oleh seorang suspek kes samun di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, suspek terbabit turut cedera selepas dilanggar oleh sebuah kenderaan, ketika melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, ketika kejadian, anggota polis terbabit menahan sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki dipercayai warga asing.

“Mereka kemudian menemui beberapa alat yang disyaki digunakan untuk pecah masuk rumah pada suspek.
“Seorang daripada suspek kemudian melarikan diri dan dikejar oleh seorang anggota polis sebelum berjaya ditahan di Jalan Tun Razak,” katanya ketika dihubungi.
Shaharudin berkata, ketika dalam proses tangkapan, suspek mengeluarkan pemutar skru dan menikam anggota polis berkenaan di bahagian tangan.
“Suspek kemudian melarikan diri dengan melintasi Jalan Tun Razak sebelum dilanggar oleh sebuah kereta.

“Suspek yang cedera di bahagian kaki dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala anggota polis yang ditikam turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan akan dilakukan atas kesalahan mencederakan anggota polis, sementara rakan suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Saya baru sahaja melawat anggota polis terbabit, dan dia berada dalam keadaan stabil,” katanya.
– HARIAN METRO – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.