Polis ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala

Polis ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala

IPOH – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditemui mati dengan satu kesan tembakan di kepala di kuarters Balai Polis Pekan Bharu, pagi ini.

Mangsa berusia 29 tahun ditemui sekitar jam 6.15 pagi dalam keadaan tertiarap lengkap beruniform di tepi rumah yang didiami.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain Abd Rasid berkata, mangsa yang masih bujang dikatakan baru melaporkan diri di balai berkenaan, dua hari lalu.

Menurutnya, mangsa sebelum ini bertugas sebagai pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah serta Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7).

“Siasatan awal mendapati, satu peluru menembusi kepala mangsa. Punca kejadian masih dalam siasatan, kita tidak boleh membuat sebarang andaian lagi, namun senjata digunakan disyaki adalah milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan merangkumi semua aspek terutama kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian.

“Masih terlalu awal untuk mengatakan mangsa telah bunuh diri atau mati dibunuh,” katanya.

– SINAR HARIAN – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.