Polis buka siasatan kes rakaman perbicaraan Najib

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka siasatan berhubung penularan rakaman perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak yang dimuat naik oleh Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil melalui laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan dibuat selepas polis menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Batu 9, Cheras.

 

Katanya, siasatan dibuka mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kelmarin, rakaman perbicaraan bekas Perdana Menteri itu yang memaparkan rakaman peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi tular menerusi media sosial.

Rakaman itu dimuat naik menerusi akaun Facebook Isham yang merupakan bekas pegawai khas Najib. – MalaysiaGazette