Warning: Undefined variable $post_id in /home/isuviral/public_html/wp-content/plugins/facebook-thumb-fixer/output-logic.php on line 4

PGA rampas rokok seludup RM464,800

TAWAU: Cubaan dua lelaki tempatan untuk memasarkan pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM464,800 gagal apabila ditahan anggota Pasukan Gerakan Am dari Batalion 17 ketika melalui kawasan pemeriksaan jalan raya (RCP) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Kalabakan, dekat sini, awal pagi tadi.

Lelaki berusia antara 20 tahun hingga 42 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota yang sedang melakukan pemeriksaan dan rondaan di RCP berkenaan antara jam 3 pagi hingga 4 pagi.



Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata ketika kejadian, sepasukan tujuh anggota PGA yang sedang melakukan tugas rutin di RCP Kalabakan mengesan dua kenderaan jenis van dari arah Tawau menuju ke Keningau dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua van berkenaan, anggota kita menemui sebanyak 7,620 karton rokok bernilai RM464,800 dimuatkan dalam van dan dipercayai tidak mempunyai kelulusan cukai kastam.

“Turut dirampas ialah dua van jenis Toyota Hiace yang digunakan oleh kedua-dua suspek dalam kegiatan penyeludupan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM140,000,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.



Beliau berkata, rokok pelbagai jenama itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk diedar dan dipasarkan di daerah Keningau.

“Tangkapan dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut, manakala siasatan kes dilakukan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

– BERITA HARIAN –



(Visited 203 times, 1 visits today)