KOTA BHARU: Polis merampas pelbagai jenis cecair vape dan katrij bernilai lebih RM2.04 juta dalam serbuan terhadap sebuah rumah di Taman Danhwa, Kampung Kebakat dekat Tumpat di sini, pada Ahad lalu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu, anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menemui seorang lelaki berusia 34 tahun yang berada di dalam kediaman terbabit.
“Anggota PGA membuat pemeriksaan terhadap rumah berkenaan sebelum menemui kesemua cecair vape dan katrij itu disyaki menyalahi undang-undang negara.
CLICK GAMBAR
“Selain itu, suspek juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan berkenaan. Anggota PGA menahan suspek dan merampas kesemua cecair vape serta katrij sebelum dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu, Tumpat.
“Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 13(A) Akta Racun 1953,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, jika disabit kesalahan pelaku boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, kesemua barangan berkenaan dipercayai dibawa dari Kuala Lumpur untuk pasaran tempat serta dibawa seludup ke negara jiran susulan mendapat permintaan tinggi di sana.
Dalam perkembangan berasingan, Muhamad Zaki berkata, PGA turut merampas dadah jenis pil kuda, syabu dan ganja serta 69 biji peluru pelbagai jenis dalam pemeriksaan di pangkalan haram Pak Ngah, Pisau Raut, Kuala Jambu di Tumpat, jam 12 tengah hari, semalam.
“Ketika kejadian, anggota yang membuat rondaan menemui beg yang mencurigakan dalam kawasan semak berhampiran Sungai Golok, sebelum membuat pemeriksaan dan menemui kesemua barangan terbabit.
“Anggota bertindak menunggu di lokasi selama dua jam, namun tiada individu yang datang menuntut sebelum bertindak merampas beg untuk dibawa ke balai polis bagi tujuan laporan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
– BERITA HARIAN –