PGA rampas 2,352 tin arak seludup

ISKANDAR PUTERI – Anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua individu yang membawa 2,352 tin arak seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai lebih RM57,000 dalam sebuah kereta di Taman Nusantara, Gelang Patah di sini pada Isnin.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, seorang lelaki dan seorang wanita tempatan itu ditahan pada jam 2.20 petang.


“Suspek masing-masing berusia 27 dan 28 tahun berkenaan menaiki sebuah kereta Proton Persona ditahan ketika melalui Jalan Nusaria, Taman Nusantara.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan arak tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

– SINAR HARIAN –


(Visited 35 times, 1 visits today)