Petugas PH melangkaui batas Polis [VIDEO]

KUALA LUMPUR 14 April – Tindakan beberapa petugas Pakatan Harapan (PH) yang memeriksa kenderaan polis dipercayai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam dianggap melangkaui batas selain mencabar kewibawaan pasukan keselamatan itu.

Sehubungan itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis boleh mengambil tindakan dan berkuasa untuk mengambil butir-butir mereka yang terlibat.



Katanya, tindakan petugas-petugas PH itu juga seperti tidak meyakini kerajaan tadbiran parti mereka sendiri.

“Ini bukan sahaja mencabar polis, tetapi mereka mencabar kerajaan mereka sendiri. Mereka juga seperti menganggap Suruhanjaya Pilihan Raya tidak boleh dipercayai.

“Polis kena ambil tindakan. Ketua Polis Negara atau Ketua Polis Negeri perlu mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.



Beliau diminta mengulas mengenai penularan video dalam media sosial menunjukkan beberapa petugas PH memeriksa kenderaan polis dipercayai pada hari pengundian PRK DUN Rantau, semalam.

Video berdurasi 44 saat itu menunjukkan petugas-petugas berkenaan menyoal anggota polis selain meminta membuka kabin bagasi kenderaan polis untuk diperiksa oleh mereka. – UTUSAN ONLINE

PLAY VIDEO DI BAWAH >>>



(Visited 93 times, 1 visits today)