Warning: Undefined variable $post_id in /home/isuviral/public_html/wp-content/plugins/facebook-thumb-fixer/output-logic.php on line 4

Pesara tentera ditipu sindiket Macau Scam

KUANTAN: Seorang pesara tentera di sini, kerugian RM10,500 apabila diperdaya oleh sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia Bhd (TM) dan pegawai polis, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa lelaki berusia 71 tahun itu menerima panggilan melalui telefon rumah daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Risman Razali’ dan bekerja dengan syarikat TM.

“Suspek memaklumkan kepada mangsa yang dia daripada TM dan mendakwa nombor telefon rumah mangsa terbabit dalam kegiatan judi internet.



“Mangsa menafikan tuduhan itu dan suspek dikatakan menyambung panggilan kepada seorang lagi suspek bernama ‘Koperal Micheal Lim’ yang dikatakan anggota polis,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, ‘Koperal Micheal Lim’ memaklumkan mangsa turut mempunyai waran tangkap dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki.

Katanya, mangsa sekali lagi disambungkan kepada pegawai polis yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Azmi’ dan meminta mangsa memindahkan sejumlah wang bagi menyelesaikan kes itu.

“Mangsa membuat enam kali transaksi ke akaun diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan RM10,500.

“Sabtu lalu, mangsa memberitahu kejadian itu kepada anak perempuannya dan mereka membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selepas menyedari menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan nombor digunakan suspek serta pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes berkenaan.

– BERITA HARIAN –