Pesara ATM kecewa kerajaan PH kurangkan bantuan RM1,200 jadi RM500

PETALING JAYA: Pesara tentera tidak berpencen meluahkan rasa kecewa selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan skim Bantuan Bakti Negara (BBN) sebanyak RM1,200.

Sebaliknya, Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen Negeri Pahang berkata, jumlah bantuan itu dikurangkan kepada RM500 setahun di bawah program baru yang diberi nama Bantuan Harapan Negara (BHN) menggantikan BBN.

Pengerusinya, Mohd Sani Ishak berkata lebih mengecewakan bantuan itu juga diberikan secara bersyarat dan tidak semua pesara tidak berpencen layak menerimanya.



“Bantuan di bawah BBN RM1,200 yang kami dapat dulu sudah tidak ada, sekarang ini kerajaan sudah tukar nama, tiada lagi BBN, tukar kepada BHN dengan bayaran RM500 one-off, tapi ia hanya dimaklumkan tapi belum dapat lagi kita juga sedang tunggu.

“Antara syarat yang diletakkan, pesara tidak berpencen layak bagi mereka yang mempunyai pingat perkhidmatan. Dulu semua pesara tidak berpencen dapat,” katanya kepada FMT.

Mohd Sani Ishak.

Sani berkata pihaknya bukan tidak bersyukur diberi bantuan RM500 tetapi jumlah itu tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup sekarang semakin meningkat.

“Kita perjuang demi negara pertahankan negara, kami kecewa, sebelum ini kami dapat RM1,200 sepatutnya dinaikkan kepada RM2,500 sepertimana cadangan sebelum ini, bukan dikurangkan kepada RM500.

“Ia tidak cukup memandangkan kos sara hidup meningkat, kami tidak ada bantuan lain dari kerajaan. Dulu dapat juga BR1M boleh tambah-tambah pendapatan kami,” katanya sambil memaklumkan pesara tidak berpencen terpaksa berniaga sendiri untuk menyara keluarga.

Katanya, pihaknya juga bercadang untuk bertemu Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad untuk membangkitkan perkara ini.



“Kita juga bercadang untuk jumpa bekas perdana menteri, Najib Razak dan bekas menteri pertahanan supaya mereka boleh bawa permasalahan kami dalam Parlimen,” katanya.

Skim BBN diperkenalkan di bawah pentadbiran Najib dan ia mula diagihkan pada 2016 pada kadar RM1,000 setahun dan dinaikkan RM200 pada 2017.

Terdapat lebih 60,000 pesara tentera tidak berpencen seluruh negara.

Pada 26 Mac lalu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan bersetuju dan meluluskan pelaksanaan inisiatif BHN 2019 sebanyak RM500 secara one-off kepada pesara tidak berpencen.

Ia menggantikan BBN 2017 dan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) 2013 dan pelaksanaan inisiatif ini adalah lebih bersasar di mana penerimanya adalah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kumpulan B40.



Kerajaan memperuntukkan RM79,684,000 untuk pelaksanaan BHN 2019.

Antara kriteria penerima BHN 2019 yang ditetapkan menerusi laman sesawang Kementerian Pertahanan adalah penerima merupakan veteran ATM, tarikh tamat tempoh perkhidmatan (TTP) sebelum 31 Disember 2019, bermastautin di Malaysia, veteran yang layak menerima Bantuan Sara Hidup 2019 Persekutuan.

Mereka juga perlu memohon untuk mendapatkan BHN 2019, veteran ATM tidak berpencen yang belum pernah memohon bantuan SVTB1M dan BBN 2017, veteran dengan jumlah pendapatan isi rumah kasar bulanan RM4,000 dan ke bawah dan tidak dipanjangkan kepada balu, duda, tanggungan atau waris.

Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM bertangungjawab melaksanakan inisiatif BHN dan permohonan dibuka pada 14 April lalu dan pembayaran akan mula dilaksanakan pada 27 Mei 2019.

Sumber – freemalaysiatoday.com