SEMALAM tular klip video memaparkan sebuah van yang mempamerkan gambar seorang lelaki dan logo lambang disyaki kumpulan Kongsi Gelap 36 diletakkan di hadapan van bersama kalungan bunga untuk upacara pengebumian.
Kejadian berkenaan membabitkan perarakan pengebumian kongsi gelap seorang lelaki berusia 28 tahun yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya Ahad lepas.
Kedua-dua klip video yang masing-masing berdurasi 36 dan 58 saat itu dipercayai dirakamkan di Pantai Dalam dan Jalan Tun Sambanthan di ibu negara.
Ikutkan, logo lambang kongsi gelap dan pembakaran mercun itu adalah bagi menenuhi hasrat si mati.
Namun atas apa sebab sekalipun, sebarang aktiviti yang melanggar sistem perundangan negara dan menyertai pertubuhan yang tidak diiktiraf kerajaan adalah salah.
Justeru, polis telah menahan lima lelaki disyaki terbabit dalam perarakan pengebumian dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipamerkan logo dipercayai ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 26 tahun itu ditahan di lima lokasi berasingan sekitar Kuala Lumpur dalam serbuan bermula 9 malam semalam hingga 2.30 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati suspek adalah rakan kepada mangsa kemalangan maut itu dan menunaikan pesanan si mati untuk membakar mercun apabila dia meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata, salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Tiga buah kereta jenis Toyota Vellfire, Toyota Camry dan Honda Civic, sebuah motosikal jenis Yamaha LC dan sejambak bunga yang digubah berbentuk angka 36 dirampas dalam serbuan itu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang melanggar sistem perundangan negara dan menyertai pertubuhan yang tidak diiktiraf kerajaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
– UtusanTv –