Penunggang maut, motosikal rentung

Ipoh: Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas kenderaannya terbabit kemalangan dengan kereta di Kilometer 6 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, berhampiran Kampung Pergom, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa Nor Hazman Kassim, 50, peniaga berasal dari Taping, meninggal dunia di lokasi kejadian dan motosikalnya turut rentung.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika tiba di selekoh di lokasi kejadian dan bertembung dengan kereta.

“Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa tercampak ke laluan asal dan terbakar, manakala mangsa yang turut tercampak meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecedera parah dibahagian kepala.

“Keadaan jalan adalah selekoh tajam dua hala dengan satu lorong setiap hala, manakala cuaca pula baik serta jalan kering,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.