Akhirnya, selepas 15 tahun terbantut, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bakal menjadi kenyataan, sejurus mendapat persetujuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
IPCMC adalah antara 125 syor yang diputuskan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan pada Februari 2004, susulan kebimbangan orang awam terhadap peningkatan kes kematian mangsa dalam tahanan, dakwaan kekejaman polis serta salah guna kuasa.
Namun, idea hanya tinggal idea sehinggalah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengotakan janji manifestonya, untuk memastikan IPCMC menjadi kenyataan. Badan bebas ‘polis dalam polis’ ini dikatakan tidak digemari dalam pasukan keselamatan itu.
Kita tidak menafikan wujudnya anggota polis yang tidak berintegriti (bad cop) yang menyebabkan masalah serius, sehingga memerlukan reformasi dalam institusi PDRM. Analogi mudahnya, adakah masyarakat yakin dengan integriti dan ketelusan polis ketika menjalankan tugas menyiasat sebarang kes?
Jika tidak, penubuhan IPCMC adalah jalan penyelesaiannya, kerana ia bertindak sebagai mekanisme kawal selia di luar ruang lingkup PDRM. Jauh daripada itu, adakah polis akan membuat laporan polis terhadap salah laku membabitkan anggotanya sendiri dan adakah kita mempunyai keyakinan isu berkenaan bakal disiasat secara adil?
Namun, pada masa sama kita juga mesti mengakui ada anggota yang baik (good cop) dan mereka inilah yang masyarakat dan negara menyandarkan harapan. Justeru, banyaknya penolakan, kegelisahan, malah terbit juga bantahan untuk menubuhkannya, sehinggalah pada Jumaat lalu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang baru menduduki jawatan nombor satu PDRM, memberi lampu hijau kepada IPCMC.
Perkara itu dicapai melalui perbincangan antara Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), dengan 20 wakil jabatan PDRM dan persatuan polis diketuai Abdul Hamid. Malah, hari-hari awal mengetuai PDRM, Abdul Hamid jelas memberi harapan cukup tinggi yang meletakkan kepentingan anggota pasukan serta kepentingan orang awam.
Sikap ‘menang-menang’ yang ditunjukkan jelas pendekatan terbaik dan kita harapkan pendirian inklusifnya terhadap IPCMC menjadi kejayaan bermakna, sepanjang dua tahun penggal perkhidmatannya nanti.
Seperti dijelaskan Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, antara kebimbangan yang dibangkitkan PDRM pada perbincangan itu adalah sama ada IPCMC mempunyai kuasa membuat pendakwaan.
Sebenarnya, IPCMC tidak lebih daripada peranannya sebagai pihak berkuasa tatatertib. Ia tiada kuasa mendakwa kes jenayah atau kes lain selain daripada kesalahan disiplin dan tatatertib, yang kini diletak di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM (JIPS).
Justeru dalam bahasa mudahnya, IPCMC bukan mengambil alih peranan polis dan JIPS. Jika ada aduan kepada IPCMC, maka IPCMC boleh menjalankan siasatan. Ia bukan badan luar seperti didakwa segelintir pihak, termasuk lapan persatuan bekas pesara polis untuk mengawasi atau mengawal mereka, tidak juga menjejaskan kuasa Ketua Polis Negara dalam aspek perintah dan kawalan disiplin oleh pihak awam.
Lantaran, walau apapun nama selepas ini digunakan apabila Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC dibentangkan di Dewan Rakyat, kita yakin ia menjadi badan pemantau yang hebat dengan mengambil kira pandangan semua pemegang taruh, termasuk anggota polis sendiri.
Kita yakin apabila IPCMC direalisasikan, integriti PDRM makin terserlah. Ini terlihat di Hong Kong apabila dalam tiga tahun pertama selepas penubuhan Suruhanjaya Bebas AntiRasuah (ICAC) pada 1974, laporan media mengenai polis korup yang disiasat dibuat hampir setiap minggu.
Justeru, adalah menjadi harapan kita agar martabat, integriti dan profesionalisme institusi keselamatan ini tidak dinodai dengan skandal penyelewengan, korupsi atau salah guna kuasa dalam organisasi terbabit.
Nah seraplah moto yang menjadi keagungan PDRM, ‘Tegas, Adil dan Berhemah.’
Penulis ialah Pengarang Bersekutu Digital, Rencana dan Laporan Khas
– Berita Harian –