Penjenayah guna taktik baharu masuk kondominium mewah – Polis

KUALA LUMPUR: Tunggu dan ikut pemegang kad akses kediaman. Itu antara taktik baru yang dikenalpasti dilakukan pelaku jenayah samun dan pecah rumah yang mensasarkan kondominium mewah sekitar ibu negara.

Dalam satu kejadian samun dan pecah rumah di Kondominium Saville, Desa Melawati, di sini jam 3.30 petang tadi, dua suspek berusia 38 dan 43 tahun, dalam keadaan mencurigakan dikesan memasuki kawasan kediaman elit itu oleh pihak keselamatan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sharif, berkata suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi, kemudian duduk dalam kereta di kawasan parkir sambil menunggu kehadiran penghuni lain yang ingin masuk ke kediaman itu menggunakan kad akses.

“Sebaik melihat ada penghuni, suspek akan mengambil peluang masuk ke dalam premis untuk menggunakan lif bersama penghuni kediaman lain.

“Apabila tiba di tingkat yang menjadi sasaran, suspek akan bertindak menekan loceng setiap rumah untuk mengenalpasti sama ada kediaman itu mempunyai penghuni atau tidak di dalamnya,” katanya.

Katanya, pergerakan suspek itu bagaimanapun disedari oleh pengawal keselamatan yang memantau melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sebelum memaklumkan kejadian kepada polis.

“Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis diketuai Ketua Polis Balai Wangsa Maju, Asisten Superintendan Cleda F Among, bergegas ke lokasi kejadian dan bersiap-sedia menunggu di kereta suspek.

“Kedua-dua suspek termasuk seorang yang dikehendaki polis atas kejadian samun kemudian diberkas semasa menuju ke kereta mereka bersama barang yang disamun serta peralatan pecah rumah,” katanya.

Roy berkata, pihak polis sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat segera daripada orang ramai dan penduduk setempat dalam usaha mematahkan sebarang kejadian pecah rumah dan jenayah.

“Tindakan pantas seperti ini membolehkan penjenayah diberkas segera,” katanya.

– BERITA HARIAN –

Leave a Reply

Your email address will not be published.