DATUK Zahida Zarik Khan mengesahkan akan bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam Pemilihan Umno kali ini.
Menerusi hantaran di Facebook, bekas Ketua Puteri Umno itu menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan berkenaan sekali gus mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli MKT Umno sejak 2013.
“Pengalaman sebagai Ahli MKT Umno ketika Naib Ketua Puteri 2013 – 2018, dan terbaru sebagai Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia 2018-2023 akan saya gunakan sebaiknya untuk terus bersama-sama pucuk pimpinan parti.
“Umno sudah melalui banyak fasa kalah, menang, susah senang, krisis politik dan sebagainya.
“Namun sebagai orang parti, kita pilih untuk terus bersetia menghadapi badai dan setiap cabaran dalam perjuangan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai Pemilihan Umno 2023, Zahida berkata, ia adalah ruang demokrasi bagi akar umbi menentukan barisan kepimpinan khasnya dalam MKT Umno.
“Justeru itu, saya Zahida Binti Zarik Khan, dengan penuh rasa rendah diri menawarkan khidmat sebagai salah seorang calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno bagi sesi 2023 – 2026.
“Mohon doa, sokongan dan undi daripada para pejuang parti semua. Salam perjuangan,” katanya.
Seramai 115 pemimpin Umno disahkan bertanding merebut 25 kekosongan jawatan Ahli MKT Umno dalam pemilihan parti itu kali ini. – Malaysiapost