Penduduk kesal sikap pemilik anjing, pertahan pengerusi masjid

Penduduk Taman Lavender Heights, Seremban kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pemilik anjing yang didakwa membiarkan haiwan mereka  menyerang penduduk dan memasuki kawasan masjid.

Abd Rahim Mohd Radzi berkata, beliau dan isteri pernah diancam semasa berjoging, manakala haiwan peliharaan penduduk seperti arnab dan kucing dibunuh anjing yang berkeliaran.

Katanya, sikap penduduk yang membela sehingga lima ekor anjing sekali gus memburukkan lagi keadaan sepanjang 10 tahun beliau tinggal di kawasan perumahan itu.

Abd Rahim turut kesal dengan tindakan seorang penduduk membuat laporan polis mendakwa anjingnya diracun dan gambar anjing yang mati disebarkan sehingga pengerusi masjid kawasan itu, Mohd Asna Amin dituduh terlibat.


“Adakah dia bertimbang rasa dan rasional, buat laporan polis seolah-olah anjing dia seorang saja yang mati. Bagaimana dengan kucing penduduk yang mati dikerjakan anjing.

“Rumah dan masjid kami dimasuki dan dicemari najis anjing, adakah nasib kami terbela?
“Kami tak kisah kalau mereka bela anjing di dalam rumah atau anjing mereka bising dan menyalak.

Tetapi ada anjing yang menyerang dan mengancam keselamatan penduduk walaupun aduan telah banyak kali dibuat,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian semasa majlis dialog dengan pihak berkuasa malam tadi.

Rela dipenjara bersama pengerusi masjid
Menurut Abd Rahim, penduduk juga sanggup dipenjarakan demi mempertahankan Mohd Asna yang dikaitkan dengan kematian beberapa ekor anjing berkenaan, dipercayai mati akibat diracun.

“Jika pengerusi masjid kami dipenjarakan, saya juga akan ikut bersama, bahkan semua penduduk taman perumahan ini,” katanya yang menerima sorakan tanda sokongan daripada kira-kira 200 penduduk yang hadir.

Mohd Asna yang merupakan Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun Lavender Heights disiasat polis selepas seorang penduduk membuat laporan mendakwa tiga ekor anjing termasuk seekor miliknya mati akibat diberi racun awal bulan ini.

Beliau menjadi sasaran kecaman selepas tangkap layar perbualannya dengan penduduk berhubung isu anjing di perumahan itu menerusi aplikasi WhatsApp tular baru-baru ini.

Dalam pada itu, wakil Majlis Perbandaran Seremban (MPS) berkata, pihaknya telah menangkap 8,000 ekor anjing liar di sekitar Seremban pada tahun 2016 dan 4,000 ekor lagi pada 2017 melalui dua syarikat yang dilantik menjalankan kerja-kerja tersebut.

Bagaimanapun, operasi itu dihentikan sejak Julai 2017 selepas ada pihak mempertikaikan kuasa MPS menangkap dan melupuskan haiwan berkenaan.

Majlis dialog turut dihadiri Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Nik Hamidah Nik Husin.

Sumber – MalaysiaKini

Leave a Reply

Your email address will not be published.