Penarik kereta ‘langgar kawasan’ dibelasah 20 lelaki

Kuala Lumpur: Perselisihan faham berkaitan isu tarik kereta menyebabkan seorang penarik kereta dibelasah sekumpulan 20 lelaki di sebuah kondominium di Jalan 1/12 D, Off Batu 4, Jalan Ipoh, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian 2.30 petang itu disedari isteri mangsa yang berada di pondok pengawal kondominium itu apabila terdengar bunyi bising.

Menurutnya, wanita terbabit melihat suaminya yang berusia 29 tahun dan bekerja penarik kereta dibelasah 20 lelaki kira-kira 100 meter dari pintu depan kondominium itu.


“Wanita terbabit cuba meleraikan pergaduhan itu, namun suspek mengugut mahu membunuh mangsa, malah mereka turut membawa lari rantai emas dipakai suaminya.

“Kebetulan dua anggota polis yang sedang menyiasat kes lain terlihat kejadian itu dan terus menahan seorang lelaki berusia 35 tahun sebelum dua lagi suspek berusia 24 tahun selepas itu,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beh berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek tidak berpuas hati kerana mangsa menarik beberapa kereta di kawasan suspek yang turut bekerja sebagai penarik kereta.

Beliau berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas pergelangan tangan kanan patah, luka di kepala, siku dan lutut.

“Suspek direman enam hari sehingga 25 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Usaha memburu suspek lain sedang diteruskan dan orang ramai yang memiliki maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

– HARIAN METRO –


(Visited 4 times, 1 visits today)