Penahanan Siti Kassim ikut undang-undang

KAJANG: Polis menyangkal dakwaan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menahan peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kassim atau dikenali sebagai Siti Kassim serta anak guamnya seperti didakwa menerusi video berdurasi tiga minit dimuat naik di media sosial yang viral sejak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata tindakan dilakukan pihak polis dibuat mengikut undang-undang diperuntukkan mengikut Kanun Keseksaan Akta 574 dan Kanun Prosedur Jenayah Akta 593.

“Pihak polis ingin menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada iaitu di bawah Kanun Keseksaan Akta 574 dan Kanun Prosedur Jenayah Akta 593.

Justeru, kami menyangkal dakwaan dibuat pihak berkenaan seperti dinyatakan dalam video berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana dakwaan culik dan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas yang juga kesalahan lazim ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Dzaffir memaklumkan permohonan reman terhadap Siti Kassim ditolak oleh Mahkamah Kajang, pagi tadi.

NSTP melaporkan Siti Kassim ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang jam 12.40 tengah malam tadi atas dakwaan berkenaan.

Sebelum itu, satu serbuan dibuat sepasukan polis di sebuah kondominium di Segambut, Kuala Lumpur kira-kira jam 9 malam tadi bagi menyelamatkan seorang wanita berusia 24 tahun selepas menerima laporan polis dibuat ibu mangsa pada 21 Jun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.