KUANTAN – Polis tidak menolak kemungkinan bahawa pengendali akaun laman
sosial Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang membuat penghinaan ke atas
Yang di-Pertuan Agong dikendalikan oleh warga asing.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah
mengambil semua tindakan bagi mengesan suspek termasuk menggunakan
bantuan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menurutnya, bantuan dari SKMM diperlukan bagi memastikan suspek dikesan
seterusnya di tangkap atas tindakan yang dilakukan mereka.
“Kita tidak tolak kemungkinan pengendali laman berkenaan mungkin warga
asing. Kalau ada sekiranya suspek dikenalpasti, tindakan undang-undang
akan diambil.
“Segala tindakan sudah kita ambil dan dakwaan pihak tertentu kononnya
polis berdiam diri serta tidak ambil tindakan adalah tidak berasas,”
katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa
Pahlawan Negara di Markas Briged Tenggara Pusat Gerakan Am (PGA) Kem
Bukit Galing, hari ini.
Turut hadir pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman
Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar.
Pada majlis itu, seramai 222 pegawai dan anggota polis dari PGA dari zon
Pantai Timur yang berkhidmat semasa darurat sehingga tahun 1990 menerima
Pingat Jasa Pahlawan Negara.
Sebelum ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik
membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Sabah-Sarawak
Merdeka’ kerana memuat naik gambar menghina Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, sebanyak 267 laporan polis yang
dibuat oleh pelbagai pihak di seluruh negara.
Jelasnya, polis menghadapi kesukaran untuk mengesan pemilik akaun
Facebook berkenaan kerana laman itu sudah disekat.
Bagaimanapun, beliau berkata,ia hanya boleh diakses di luar negara jadi
ia akan mengambil sedikit masa.
– SINAR HARIAN –