Pemandu mabuk, rakan ditahan rempuh sekatan jalan raya

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua individu yang menaiki sebuah kenderaan selepas merempuh sekatan jalan raya di Batu 15 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh dan hampir melanggar dua anggota polis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada mulanya menahan kereta Toyota Wish yang dikesan dalam keadaan mencurigakan untuk tujuan pemeriksaan.


Bagaimanapun sebaik dihampiri, pemandunya terus memecut kenderaan yang dipandu dan merempuh sekatan di situ sehingga hampir melanggar dua anggota polis bertugas.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata anggota polis mengejar kenderaan itu sejauh kira-kira satu kilometer dan akhirnya berjaya menahan kenderaan terbabit.

“Ketika proses tangkapan dijalankan, kedua-dua suspek enggan memberi kerjasama malah bertindak merakam video dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan ke atas anggota polis yang bertugas.

“Pemandu yang juga seorang lelaki tempatan dan penumpang, seorang wanita tempatan masing-masing berusia 32 dan 38 tahun ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Arifai berkata, hasil ujian pernafasan ke atas mereka mendapati pemandu di bawah pengaruh alkohol.

“Suspek dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya kerana menyedari dia berada di bawah pengaruh alkohol ketika pemeriksaan hendak dilakukan.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

CLICK GAMBAR UNTUK WHATSAPP!

Beliau berkata tindakan melarikan diri daripada sekatan jalan raya adalah satu kesalahan yang serius.

“Jika ada elemen cuba merempuh petugas yang membahayakan nyawa mereka implikasinya adalah lebih berat kerana ianya boleh disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh,” katanya.

– Berita Harian –


(Visited 8 times, 1 visits today)