Pemandu mabuk: Kes bunuh, nahas maut hukumannya tidak sama

SHAH ALAM – Kes bunuh dan kemalangan jalan raya termasuk yang menyebabkan kematian adalah dua kes berlainan dan tidak boleh dikenakan hukuman sama iaitu gantung sampai mati.

Pegawai Turus Kes Profil Tinggi dan Kajian Kes, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Rozlim Che Ali berkata, kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan parah, ringan atau maut dikategorikan sebagai kes quasi criminal.

Beliau berkata, kes-kes lalu lintas di bawah quasi criminal itu hanya memadai dibuktikan dengan tindakan tetapi berbeza dengan kes bunuh kerana terdapat dua perkara yang perlu dibuktikan iaitu niat serta tindakan.



“Bagi kes bunuh jika dapat dibuktikan niat seseorang pelaku itu serta tindakannya, baru kita boleh tuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Tetapi dalam kes kemalangan, sukar untuk kita buktikan niat seseorang itu walaupun tindakannya mendatangkan kematian,” katanya ketika disoal mengapa pemandu mabuk yang menyebabkan kematian tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati seperti pesalah kes bunuh.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Siri 156 bertajuk Pemandu Mabuk: Perlukah Hukuman Lebih Berat? di Dewan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) di sini kelmarin.

Wacana yang dimoderatorkan oleh Amin Idris itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Pengarah Pusat Penyelidikan Perubahan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Low Suet Fin dan Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) Kebangsaan, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani.



Menurutnya, kajian sebelum meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah serta secara berbahaya dibuat bukan kerana hukuman terdahulu tidak setimpal sebaliknya untuk memastikan ia relevan dengan keadaan semasa.

“Undang-undang sedia ada ketika ia dipinda dahulu dianggap sudah berat pada masa itu.

“Bagaimanapun, berdasarkan keadaan semasa ketika ini, nilai denda atau hukuman itu tidak lagi dilihat membebankan mereka yang disabit kesalahan. Sebab itu perkara sebegini perlu dikaji semula,” katanya.

Dalam pada itu, Rozlim turut memberi penjelasan berkaitan persoalan sering ditimbulkan orang ramai yang mengatakan denda kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 yang diperuntukkan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan nyawa orang yang mati disebabkan kecuaian pemandu mabuk.

“Apabila berkaitan mabuk, kita sebenarnya ada Seksyen 44, Seksyen 45 dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hukuman yang dikenakan di bawah Seksyen 44 menetapkan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000 serta penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun selain lesen memandu digantung,” katanya.

– SINAR HARIAN –