Pelajar maut, dua anggota polis parah dirempuh lori

TAIPING 26 April – Seorang pelajar maut manakala dua anggota polis cedera apabila dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan di Kilometer 223.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, Koperal Khairul Zulhamie Mat Deris, 29, dan Koperal Mohd. Zamri Zainal, 47, dari Unit Pasukan Peronda Lebuh Raya (EMPV) sedang membantu kereta Honda Civic dipandu Muhammad Hakeem Badrol Hisham, 21, yang mengalami masalah tayar pancit.
Bagaimanapun, sebuah lori muatan barangan runcit dipandu lelaki berusia 35 tahun hilang kawalan lalu melanggar kenderaan peronda polis dan kereta Muhammad Hakeem yang berada di hadapan sebelum mengenai ketiga-tiga mangsa.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, akibat kemalangan itu, Muhammad Hakeem maut di tempat kejadian manakala dua anggota polis itu pula masing-masing patah kaki kanan dan kiri.
Katanya, seorang lagi anggota polis Koperal Yaacob Udin, 53, dan pemandu lori itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Dua anggota polis terbabit dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut dan mayat Muhammad Hakeem juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.