SEREMBAN – Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS) kesal dengan kenyataan
pembantu kepada Menteri Besar Negeri Sembilan yang menggelarkan wartawan
Sinar Harian sebagai ‘bingai’ diakaun Facebooknya.
Pengerusinya, Arfi Ahmad berkata, adalah tidak wajar beliau mengeluarkan
kenyataan sebegitu dengan menggelarkan seorang pengamal media begitu
rendah dan hina sekali.
“Kerajaan dan media seperti “aur dan tebing” di mana saling perlu antara
satu sama lain.
“Jangan dikeruhkan lagi air di hulu kerana nanti air di hilir juga akan
keruh, begitu lah ibaratnya media dan kerajaan,” katanya dalam satu
kenyataan.
Lebih menyedihkan beliau berkata, sehingga kini tiada satu pun
permohonan maaf dari individu berkenaan dan langsung tidak mengakui
kesilapannya.
Katanya, ini bukan bermakna pengamal media tidak boleh ditegur, tetapi
biarlah secara berhemah dan bukannya menjadikan media sosial sebagai
tempat untuk menyalahkan pengamal media.
“Lebih dikesali beliau yang berkhidmat dengan kerajaan negeri tidak
mencerminkan slogan Menteri Besar Negeri Sembilan iaitu Bersih, Mufakat
dan Sejahtera.
“Apatah lagi beliau bertugas di negeri beradat ini yang mana lazimnya
orang beradat ini adalah beradab sopan dan nilai murni dalam tutur kata
bahasanya apatah lagi ketika menjalankan tugasnya yang diamanahkan oleh
menteri besar,” katanya.
Menerusi akaun Facebook individu berkenaan berkata, ‘nampak tak
bingainya wartawan Sinar ini, lain dicakap, lain dikeluarkan.
“Boleh pula editor dia jawab salah tafsir dan beri tajuk ikut kefahaman
sendiri.
“Takut nak kena saman boleh pula tukar tajuk baru. H@#$% tul ler,” tulisnya.
Sementara itu Gerakan Media Merdeka (Geramm) menerusi akaun Facebook
rasminya berkata, sebagai pegawai kepada menteri besar, tidak sepatutnya
menyuarakan perkara itu di media sosial kerana terdapat cara lain lagi
boleh dilakukan untuk selesaikan sebarang salah faham.
Katanya, kerajaan negeri boleh buat kenyataan media minta penjelasan
dari editor dan wartawan secara profesional dan terbuka.
“Tapi bukannya dengan gunakan kata kesat sebegitu. Perbuatan ‘menembak’
wartawan sepatutnya tidak dilakukan oleh kerajaan yang telah menyatakan
komitmen menyokong kebebasan media.
“Kami berharap agar Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai pentadbir
tertinggi kerajaan negeri dapat pastikan hubungan profesional dengan
pengamal media dan wartawan Negeri Sembilan,” katanya.
– SINAR HARIAN –