PDRM mohon elaun anggota rendah dinaikkan seiring perkembangan semasa [Video]

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerajaan menaikkan elaun anggota berpangkat rendah seiring dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini, terutama di ibu negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa di sebalik permohonan itu, namun cukup memadai agar setimpal dengan pengorbanan anggota polis, termasuk risiko keselamatan dihadapi mereka.

“Kita berharap kerajaan memahami keperitan hidup anggota berpangkat rendah, terutama ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menyewa rumah kerana tidak mendapat tempat di perumahan polis. Ada yang sewa satu bilik pun sehingga RM500 dan RM600.



“Pada masa yang sama, kesempitan wang untuk kegunaan pengangkutan dari rumah sewa ke balai tempat mereka bekerja setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Bicara Politikonomi yang disiarkan RTM melalui TV1, malam tadi.

Abdul Hamid berkata, kerajaan juga perlu memperhalusi keperluan menaik taraf balai polis yang daif dan aset kenderaannya yang sudah melebihi jangka hayat 40 tahun.

“Hasil lawatan saya ke balai polis sekitar Sabah, saya dapati ada kenderaannya sudah usang, dengan keadaan dalamnya sangat daif. Kenderaan itu sepatutnya dilupuskan, namun ia masih digunakan anggota saya untuk tugasan harian,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berpuas hati dengan jumlah kekuatan pegawai dan anggota polis sedia ada.

“Ketika ini, saya hanya akan membuat sedikit rombakan dan pemindahan dalaman membabitkan anggota di beberapa jabatan, unit dan bahagian polis. Kita akan pindahkan anggota dari jabatan yang mempunyai kurang cabarannya ke jabatan yang mempunyai cabaran baharu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) wajar dianggap sebagai situasi menang-menang antara PDRM dan masyarakat setempat.

“Saya terima IPCMC bukan atas desakan atau paksaan mana-mana pihak. IPCMC ada kebaikannya, kenapa saya perlu tolak?

Penubuhannya bertujuan memantau tahap disiplin anggota seterusnya memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM,” katanya.

– BERITA HARIAN –

TEKAN PLAY VIDEO DI BAWAH >>>