PDRM Kerah Unit Berkuda, Udara, Perisai & Dibantu Komando 69 Gempur Penyeludup Di Sempadan Negara

PADANG BESAR, 25 Nov — Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menggerakkan unit berkuda, unit udara, unit kereta perisai dan anggota 69 Komando (VAT69) ke sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha mencegah aktiviti penyeludupan, dan memburu penyeludup.

Komander Briged Utara PGA SAC Abdul Ghani Mohamad Ji berkata keempat-empat unit itu akan memastikan bahawa sempadan negara tidak mudah lagi dibolosi.


Beliau berkata PGA akan menambah tiga unit kereta perisai dengan kekuatan 12 anggota yang dibahagikan kepada tiga kumpulan, manakala tugasan pemantauan udara akan dilakukan oleh Unit Udara dibantu oleh VAT69 dan anggota penjejak dari Batalion 3 PGA yang akan melakukan tinjauan di darat.

“Kita juga akan tempatkan tiga unit berkuda melakukan rondaan di sepanjang sempadan bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang Besar.

“Sehingga kini enam ekor kuda daripada unit berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan bagi melakukan rondaan mengikut giliran,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan sekitar lokasi kejadian tembak menembak yang melibatkan anggota PGA semalam, di sini hari ini.

CLICK GAMBAR UNTUK WHATSAPP!

Dalam insiden kira-kira pukul 2.30 pagi semalam, Kpl Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Kpl Norihan a/l Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 dekat sini.

Abdul Ghani berkata rondaan bersepadu itu akan bermula pada 27 Nov (Jumaat) melibatkan rondaan bersepadu dari Markas Taktikal (MARTAK) PGA Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Padang Besar, Perlis dan Pos Kawalan BKC 7 ke Padang Besar.

Katanya di samping rondaan bersepadu, PGA turut akan melakukan rondaan di seluruh 23 pos kawalan sepanjang laluan keselamatan bermula daripada MARTAK PGA Bukit Kayu Hitam ke Padang Besar berdasarkan maklumat yang diperolehi dari semasa ke semasa.

Beliau berkata daripada risikan terdapat lima hingga tujuh kumpulan penyeludup yang aktif sejak kebelakangan ini.


— BERNAMA

(Visited 73 times, 1 visits today)