PDRM harap kerajaan segerakan elaun anggotanya

MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap kerajaan dapat menyegerakan penyelarasan elaun pegawai dan anggotanya, sama seperti kakitangan perkhidmatan awam lain.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, permintaan itu dibuat kerana beberapa elaun yang diperoleh PDRM seperti elaun perumahan, kesengsaraan, Bayaran Insentif Tugas Am (BITA) dan kenaikan gaji tahunan masih ketinggalan.



Beliau berkata, sebagai pasukan yang istimewa daripada segi undang-undang, PDRM sepatutnya diberikan pengiktirafan menikmati elaun tertentu sama seperti agensi kerajaan lain.

“Kalau guru dan perkhidmatan kesihatan yang bertugas, contohnya di Pantai Timur Sabah, mereka menikmati elaun begitu tinggi, sedangkan anak buah saya yang menjaga keselamatan, sama-sama susah mendapat hanya 10 peratus daripada gaji mereka.

“Perkara ini sudah dibangkitkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pihak berkenaan begitu sensitif dan bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutupan Persidangan Agung Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) Ke 90 Tahun 2019, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, bagaimanapun pihaknya faham yang mana usaha itu akan dipertimbangkan oleh kerajaan mengikut kemampuan kewangan.

“Buat masa ini penekanan saya kepada anggota berpangkat rendah kerana mereka yang terkesan.

“Memang wajar elaun ini (anggota berpangkat rendah) diluluskan segera oleh kerajaan,” katanya.

– BERITA HARIAN –



(Visited 86 times, 1 visits today)