PATUT KE BUBAR STAFOC? INI PANDANGAN WARTAWAN

STAFOC, STAGG DAN STINGS DIBUBARKAN…IZINKAN ABAM BERBEZA PENDAPAT.

Ramai yang marah dan tak puas hati bila Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi, dan Gangsterisme (STAGG) serta Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) hendak dibubarkan.

Macam-macam alasan dan sumpah seranah yang netizen berikan.

Sebagai wartawan jenayah, abam pun kena ‘tempiasnya’ apabila ramai minta abam ‘jump on the bandwagon’ untuk hentam keputusan tersebut.

 

Beginilah, abam tak boleh hipokrit. Maafkan abam kerana abam terpaksa berterus terang. Tak kisahlah nak label abam apapun, tetapi kalau tanya abam, yes, abam rasa ada wajarnya pasukan2 ini dibubarkan!

Sebelum pergi lebih jauh, abam nak tegaskan di sini bukannya abam tak hargai peranan dan kehebatan pasukan ini, tetapi bagi abam unit sedia ada dalam PDRM pun dah lebih daripada mampu untuk menangani kes-kes jenayah besar ini, tak perlu terlalu banyak ‘pasukan khas dan pasukan elit’.

PDRM sendiri dah ada dua unit elit iaitu Komando Vat 69 dan Unit Tindak Khas (UTK) yang memang dilatih setengah mati untuk operasi-operasi besar sebegini, nak wujudkan mcm-mcm unit elit lagi nak buat apa?

Pepatah Inggeris ada mengatakan – TOO MANY COOKS SPOIL THE SOUP!

 

Lebih 200 tahun wujud PDRM dan beribu penjenayah hardcore ditembak mati atau ditangkap sebelum ini, elok je komunis kena cekup, Botak Chin kena tangkap, Kalimuthu kena tembak, penculik Jail Pudu ditumpaskan…masa tu belum wujud pun segala STAFOC, STING, STAGG semua ni tau.

Dan yang paling wajar kenapa pasukan-pasukan ini perlu dibubarkan adalah, peranan mereka ni kow-kow bertindih dengan unit-unit lain yang memang dah sedia wujud dalam PDRM.

STAGG menjalankan fungsi yang sama dengan D7A (Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) dan D7C (Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran), STING pula menjalankan peranan yang sama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman manakala STAFOC pula didapati sama dengan D9 (Bahagian Siasatan Jenayah Berat). Nampak tak?

Sebagai wartawan jenayah, abam punya ramai kenalan pegawai dan anggota daripada unit-unit di atas, mereka adakalanya pun pening kerana nama unit je lain-lain tetapi buat kerja yang sama juga akhirnya.

 

Itu belum masuk kes lembu punya susu sapi dapat nama. Bab ni abam malas nak ulas lanjutlah, tau sama tau udahler.

Kena ingat, walaupun dah bubar, bukan bermakna mereka hilang kerja. Mereka tetap warga PDRM cuma akan ditempatkan semula di unit-unit lain. Lagipun ilmu dan kemahiran yang mereka peroleh tak mungkin sia-sia, pasti ia boleh digunakan di tempat mana mereka bertugas selepas ini.

Kesimpulannya abam menyokong penuh keputusan membubarkan STAGG, STING dan STAFOC. Cukuplah dengan memperkasakan unit-unit yang sedia ada. Buat pegawai dan anggota unit yang dibubarkan ini, tak perlu terlalu sedih atau down. Kami semua terhutang budi dengan jasa yang telah tuan- tuan berikan selama ini.

Dan kami lebih percaya, ular menyusur akar tak mungkin hilang bisa- bisanya

Steady Sang Saka Biru!

Penulis – SYAHRIL A. KADIR