Pasal dadah rupanya…

KEKECOHAN yang berlaku di Flat Sri Johor, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur, malam semalam berlaku akibat masalah penyalahgunaan dadah.

Siasatan awal polis mendapati isu yang tular di media sosial kononnya berlaku masalah perkauman hingga berlaku rusuhan sebenarnya tidak benar dan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Superintendan Kamal Khan Mohd Shariff berkata, setakat ini pihaknya sudah menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun, selain sedang memburu seorang lagi lelaki.

“Dalam kes ini, dua lelaki berbangsa Melayu dan dua lelaki berbangsa India dilaporkan bergaduh dengan menggunakan parang sehingga menyebabkan kecederaan antara mereka.
“Hasil siasatan awal kita juga mendapati keempat-empat lelaki ini adalah penduduk Flat Sri Johor, (dan mereka) bergaduh akibat masalah dadah,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan persatuan penduduk flat berkenaan, hari ini.
Beliau berkata, akibat itu, tiga daripada mereka direman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, atas kesalahan melakukan rusuhan.
Katanya, penduduk kawasan perumahan berkenaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama sememangnya hidup dalam keadaan aman sejak puluhan tahun dahulu tanpa ada sebarang masalah.
“Justeru, apabila tular dalam media sosial kononnya ada pergaduhan kaum berlaku, penduduk di Flat Sri Johor ini berasa takut dan bimbang kerana pihak bertanggungjawab menyebarkan laporan yang tidak sahih.
“Malah, ada antara penduduk yang takut hendak keluar dari rumah selepas menerima laporan tidak benar ini,” katanya.
Katanya, pihaknya juga akan mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan laporan tidak benar mengenai situasi di kawasan berkenaan.
– HARIAN METRO – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.