Pas akan pastikan Tok Mat menang di Rantau

KUALA LUMPUR – Selepas sah menjalin kerjasama, Pas dengan ini mengesahkan akan memastikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan akan memperoleh kemenangan dalam PRK DUN Rantau yang dijadual 13 April ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jaminan ini merupakan ‘obligasi mandatori’ Pas selaras dengan ta’awun siyasi yang telah dimeteraikan oleh Pas dan UMNO, pada 5 Mac, semalam.

“Pas akan menggabungkan jentera pilihan raya Pas di peringkat Kawasan Rembau dan Negeri Sembilan dengan jentera pilihan raya UMNO bagi memastikan semua gerak kerja kedua-dua parti berjalan lancar dan berkesan.

“Pas yakin UMNO yang akan mengekalkan Timbalan Presidennya, Mohamad sebagai calon akan terus diberikan mandat dan kepercayaan rakyat terutamanya pengundi di DUN Rantau bagi mewakili mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi, sokongan ini berdasarkan rekod perkhidmatan Mohamad yang cemerlang, bukan sahaja kepada rakyat di DUN Rantau, malah seluruh rakyat Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Mohamad telah mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Rantau yang dimenanginya pada PRU14, Mei lalu

“Memang saya akan bertanding di DUN Rantau. Kalau hendak mati, biarlah mati di kampung sendiri.

“Mati itu merujuk kepada bahasa orang Negeri Sembilan. Ia seperti, kalau hendak mati, biarlah mati di tempat kelahiran,” katanya.

Malah menurut Mohamad lagi, BN juga tidak mempunyai masalah dengan keputusannya itu, memandangkan kerusi DUN berkenaan merupakan kerusi tetap Umno.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan penamaan calon PRK DUN Rantau pada 30 Mac dan hari pengundian pada 13 April 2019.

 

– SINAR HARIAN –