Ops Dadu: 12,449 serbuan, 22,300 tangkapan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,449 serbuan membabitkan 22,300 tangkapan berjaya dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras kegiatan judi tanpa lesen atau judi haram di seluruh negara sejak awal tahun ini sehingga 5 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata kadar serbuan dan tangkapan itu menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu susulan tindakan berterusan pihaknya mengekang kegiatan itu sehingga penganjur judi haram tidak kembali beroperasi.
Katanya, tumpuan operasi pembanterasan PDRM tertumpu kepada kegiatan perjudian dalam talian, mesin simulator, loteri awam tanpa lesen, judi catit taruh haram, judi dalam talian dan judi tempat bebas.
“Sepanjang tahun ini sehingga 5 September lalu, sebanyak 12,449 serbuan dilakukan membabitkan 3,297 serbuan berkaitan kegiatan mesin perjudian, 7,947 serbuan loteri awam tanpa lesen manakala 1,205 lagi serbuan membabitkan lain-lain kes kegiatan judi haram.
“Jumlah itu menurun berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu keseluruhan 12,628 serbuan membabitkan 6,032 serbuan mesin perjudian, 5,82o serbuan loteri awam tanpa lesen dan selebihnya kegiatan judi haram yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun katanya, di sebalik penurunan itu, kadar keseluruhan rampasan wang tunai dilihat meningkat kepada RM4.67 juta berbanding RM3.73 juta tahun lalu kerana tumpuan kaki judi kini beralih kepada aktiviti judi loteri awam tanpa lesen.
“Rampasan wang tunai untuk kegiatan loteri awam tanpa lesen meningkat lebih RM340,000 kepada RM1.47 juta berbanding tahun lalu dengan RM1.13 juta.
“Namun kata beliau, rampasan wang tunai untuk kegiatan judi mesin dan simulator menurun kepada RM1.18 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu RM1.2 juta, manakala wang tunai yang dirampas untuk lain-lain kegiatan judi haram meningkat daripada RM1.39 juta tahun lalu kepada RM2.01 juta,” katanya.
Mohamad Fuzi berkata rampasan mesin perjudian membabitkan komputer, mesin simulator, komputer tablet dan telefon mudah alih mencatatkan penurunan sebanyak 40,198 buah kepada 25,267 buah tahun ini berbanding 65,465 buah tahun lalu.
“Menerusi kajian yang dijalankan, keberkesanan operasi yang dilancarkan PDRM menyebabkan sindiket perjudian tidak lagi beroperasi
“Kajian turut mendapati enam kontinjen polis negeri iaitu Johor, Selangor, Sarawak, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan kadar serbuan tertinggi berbanding kontinjen lain.
“Justeru, kita mensasarkan operasi dengan memfokuskan enam kontinjen terbabit secara khusus,” katanya.
Beliau berkata, kontinjen Johor mencatatkan serbuan tertinggi dengan 2,719 serbuan, diikuti Selangor (2,372), Sarawak (1,617), Negeri Sembilan (1,156), Kedah (945) dan Pulau Pinang (863).
Katanya, usaha PDRM mewujudkan bilik gerakan serta talian hotline khas untuk aduan awam berkaitan judi haram sejak 20 Julai lalu juga sebagai usaha menangani isu perjudian secara lebih menyeluruh banyak memberi kesan.
“Inisiatif itu diterima secara positif oleh masyarakat dan menerusi 716 maklumat berhubung judi haram yang diterima daripada awam, PDRM sudah pun menjalankan 414 serbuan manakala 141 maklumat kini sedang diproses untuk bukti lanjut.
“Bagaimanapun, sebanyak 161 aduan disahkan sebagai tidak berasas,” katanya yang turut meminta supaya orang ramai terus menyalurkan maklumat dalam membantu polis membasmi kegiatan tidak bermoral itu.
Selain itu, katanya dalam mengekang kegiatan judi haram secara keseluruhan dan berkesan, PDRM menggunakan pendekatan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) bertujuan menangkap penganjur perjudian yang berselindung di sebalik tabir.
“Sepanjang tempoh penguatkuasaan POCA daripada 2 April 2014 sehingga 5 September lalu, seramai 177 individu yang berperanan sebagai penganjur perjudian ditangkap di seluruh negara dengan 33 daripadanya ditangkap sepanjang tahun ini,” katanya.
– Berita Harian – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.