KULIM – Seorang lelaki yang berada dalam jaminan mahkamah melarikan diri
bersama teman wanitanya selepas gagal menjelaskan denda RM11,000 kepada
Mahkamah Majistret Kulim semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, Orang Kena Tuduh (OKT), Muhammad
Ashaaru At Tamimi Ali, 26, beralamat di Seberang Jaya Prai Pulau Pinang
hadir bersendirian ke mahkamah berkenaan bagi dijatuhkan hukuman atas
kesalahan mencuri di pasar raya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior
Faridalthrash Wahid berkata, OKT berkenaan memaklumkan kepada anggota
bertugas bahawa teman wanitanya akan hadir.
Menurutnya, disebabkan waktu semakin lewat, OKT berkenaan dibawa ke
Balai Polis Kulim dalam keadaan bergari sebelum dihantar ke penjara.
“Lelaki itu telah diiringi empat anggota menaiki kereta peronda. Dalam
masa sama teman wanitanya hadir tetapi tidak membawa wang untuk
menjelaskan bayaran denda.
“Ketika kereta yang telah berkunci dari dalam hendak bergerak, wanita
itu membuka pintu kereta dari luar. Kereta itu berkunci dari dalam
menggunakan sistem ‘child lock’ di mana pintu hanya boleh dibuka dari
luar,” katanya.
OKT itu berjaya lolos daripada kawalan sebelum melarikan diri bersama
teman wanitanya yang menunggang motosikal jenis RXZ.
Motosikal itu bagaimanapun terbabas di kawasan sebuah kilang berhadapan
Kampung Padang Cina.
Penunggangnya panik apabila terserempak dengan kereta peronda Kulim Hitech.
Mior Faridalthrash berkata, semua anggota telah diarahkan untuk mengesan
kedua-dua suspek terlibat.
“Waktu sekarang elemen rondaan sedang bergerak di pekan Kulim dan
kawasan-kawasan suspek berpontensi bersembunyikan diri,” katanya.
– SINAR HARIAN –