Nenek sesat cari rumah anak

WANITA warga emas dipercayai tersesat ditemui dalam keadaan keletihan selepas berjalan kaki sejauh 10 kilometer di Jalan Kota Marudu – Langkon, Kota Marudu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, wanita berusia 80 tahun terbabit diselamatkan anggota trafik sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, wanita itu ditemui anggota polis trafik ketika menjalankan Op Selamat 14/2019 sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

“Wanita itu ditemui ketika sedang duduk di tepi jalan raya dan hasil temu bual mendapati dia berjalan kaki mahu menuju ke Kampung Bengkongan untuk menemui salah seorang anaknya.

“Anggota polis trafik juga bertanya dengan penduduk di sepanjang Jalan Kota Marudu – Langkon untuk untuk mengenal pasti ahli keluarganya sehingga menemui salah seorang cucunya di Kampung Langkon Baru,” katanya.

Sementara itu, lelaki mahu dikenali sebagai Ajat, 29, yang juga juga anak saudara kepada warga emas itu berkata, ibu saudaranya keluar dari rumah di Kampung Ranau dan sudah berjalan kaki sejauh 10 kilometer tanpa disedari ahli keluarga.

“Dia juga baru keluar dari wad Hospital Kota Marudu pada hujung bulan lalu untuk menjalani rawatan disebabkan sakit tua.

“Ingatannya juga sudah kurang baik dan mujur polis trafik membantunya sebelum berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

– HARIAN METRO – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.