KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu individu menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang melarikan diri ketika cuba diperiksa di Jalan Pudu, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmy Visunathan Abdullah, berkata kejadian itu berlaku ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melakukan Operasi Tapis (Op Tapis) di lokasi berkenaan pada jam 5.20 petang.
Katanya, ketika operasi dilakukan, sebuah Toyota Vellfire yang bercermin gelap dikesan berhenti dengan enjin masih hidup di tepi jalan berhampiran sebuah hotel.
“Ketika polis menghampiri MPV terbabit untuk pemeriksaan, tiba-tiba pemandunya memecut laju dan hampir melanggar kereta polis yang diletakkan di lokasi berhampiran.
“Anggota polis kemudian mengejar kenderaan itu dan ketika itu, kenderaan suspek melanggar sebuah kereta jenis Nissan Almera berhampiran sebuah bank di Jalan Pudu, menyebabkan MPV itu berhenti.
“Suspek yang berada di dalam kereta diarahkan keluar, namun kenderaan itu sekali lagi dipecut hingga memaksa polis melepaskan lima das tembakan ke arah MPV terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mohd Fahmy berkata setakat ini masih belum dapat dipastikan berapa jumlah individu yang berada di dalam MPV terbabit ketika kejadian.
“Disebabkan MPV itu menggunakan cermin gelap, sukar untuk kita mengesan jumlah sebenar individu yang menaiki kenderaan itu.
“Selain itu, MPV terbabit juga dilihat menghala ke arah Jalan Loke Yew, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.
– BERITA HARIAN –
BERITA BERKAITAN >>> Polis tak setuju cermin gelap