KEPALA BATAS: Memperkenalkan diri sebagai anggota polis kononnya mahu membawa mangsa ke balai berikutan terbabit dalam kegiatan jenayah.
Namun, sebaliknya bertindak menyamun di pertengahan jalan dengan melarikan pelbagai barangan berharga milik mangsa.
Itu modus operandi digunakan tiga lelaki apabila mereka mengenakan pakaian ves polis untuk melakukan kegiatan samun di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Bagan Ajam dan sekitar daerah ini.
Bagaimanapun, kegiatan mereka itu tidak bertahan lama apabila polis berjaya menahan kesemua suspek dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata tangkapan dibuat sejurus pihaknya menerima laporan dibuat tiga mangsa menyatakan diri mereka disamun individu menyamar anggota polis antara jam 4 pagi hingga 12 tengah hari semalam.
“Susulan itu, kita melancarkan Op Cantas dan menahan dua suspek berusia 23 dan 26 tahun di sebuah rumah dekat Bukit Indera Muda, Kubang Semang pada jam 11.30 pagi tadi.
“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penahanan seorang lagi suspek pada 30 minit kemudian kerana kesemuanya tinggal di kawasan sama,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Noorzainy berkata, dua daripada tiga suspek yang ditahan itu memiliki rekod jenayah lampau.
“Mereka mengaku melakukan kegiatan jenayah dengan menyamar sebagai anggota polis. Kita merampas pelbagai peralatan digunakan suspek termasuk ves polis, walkie talkie, lampu suluh mempunyai renjatan elektrik dan plastik lutsinar disyaki mengandungi syabu,” katanya.
Katanya, semua suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
– BERITA HARIAN –