Menteri Dalam Negeri Disahkan Negatif Covid-19

Susulan seorang Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disahkan Positiv Covid 19 pada 5 Oktober 2020.

Berlegar-legar pula di media sosial propaganda,berita palsu dan fitnah yang kononnya Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan beberapa Menteri lain Positif Covid 19 selepas mereka terlibat bersama-sama Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam satu mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Sabtu lepas (3 Oktober).

Hari ini 7 Oktober 2020 Kementerian Dalam Negeri melalui setiausaha Politik YB Menteri menafikan khabar angin dan fitnah tersebut.

“Saya juga menafikan sekerasnya berita palsu yang tular dan mendakwa YB Menteri Dalam Negeri disahkan Positif Covid-19.” Kata Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri dalam satu kenyataan



Ia juga sudah pun disahkan sebelum ini seperti laporan media bahawa SERAMAI 90 individu termasuk kontak rapat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan negatif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini bermaksud semua menteri-menteri yang terlibat dalam mesyuarat tersebut termasuk Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa telah disahkan negatif secara rasmi.

Kenyataan penuh oleh Setiausaha Politik kepada, YB Menteri Dalam Negeri seperti berikut.

YB MENTERI DALAM NEGERI BEBAS DARI COVID-19, ALHAMDULILLAH.

1. Susulan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang telah menghadiri mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan disahkan Positif Covid 19, Menteri Dalam Negeri YB Dato Seri Hamzah Zainudin yang turut serta dalam mesyuarat tersebut telah menjalankan Ujian Saringan Pengesanan COVID-19 (swab test) dan akur dengan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah seperti yang diarahkan oleh KKM.

2. Keputusan ‘swab test’ tersebut telah diterima pada 6 Oktober dan Alhamdulillah, syukur pada Allah, YB Menteri Dalam Negeri telah disahkan Negatif serta bebas dari virus tersebut. Keputusan ini turut diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham dalam kenyataan media beliau semalam (6 Oktober 2020).

3. Walaubagaimanapun, sebagai langkah keselamatan dan pencegahan, YB Dato Seri Hamzah Zainudin sebentar tadi telah memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon beliau akan terus menjalankan kuarantin kendiri dan menjalankan tugas-tugas rasmi beliau seperti biasa dari rumah.

4. Saya juga menafikan sekerasnya berita palsu yang tular dan mendakwa YB Menteri Dalam Negeri disahkan Positif Covid-19.

5. Dalam negara berhadapan dengan pandemik dan musuh yang tidak kelihatan, perbuatan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan ketidaktenteraman, fitnah dan panik di kalangan masyarakat awam amatlah buruk dan dikeji. Pihak Pejabat Menteri Dalam Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang cuba menyebarkan berita palsu dan menimbulkan panik di kalangan masyarakat awam.

6. Dalam kebebasan media sosial ingatlah amaran Nabi bahawa “Tidak Masuk Syurga Pengadu Domba” (Riwayat Muslim) dan sikap Tabayyun (semak dan selidik) dalam menerima berita mestilah diamalkan seperti yang disarankan Al-Quran.

Sekian, terima kasih.

SAYED AMIR MUZZAKKIR,
Setiausaha Politik kepada,
YB Menteri Dalam Negeri.
7 Oktober 2020



(Visited 146 times, 1 visits today)