Maut ditembak selepas cuba tikam Polis

GEORGETOWN: Tindakan seorang lelaki cuba menikam anggota polis berakhir dengan tragedi apabila dia maut ditembak di kepala dalam kejadian di Jalan Ria, berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, suspek yang berusia 41 tahun cuba menikam anggota polis yang ketika itu mahu meleraikan pertengkaran antara dia dan seorang lagi lelaki.

Difahamkan, sebelum kejadian suspek menendang teksi dan bertengkar dengan seorang pemandu teksi berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata pemandu teksi terbabit kemudian menghubungi polis kerana bimbang diganggu suspek.

Menurutnya, anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan terbabit pergi ke lokasi kejadian dan cuba meleraikan pertengkaran.

“Bagaimanapun, ketika diminta menunjukkan kad pengenalan, suspek enggan menyerahkannya dan mempersoalkan tindakan anggota polis terbabit.

“Dia juga ketika itu cuba menikam anggota terbabit menggunakan pisau pemotong buah sepanjang 18 sentimeter dan diberi amaran supaya tidak berbuat demikian,” katanya.

Che Zaimani berkata, suspek bagaimanapun masih berkeras dan cuba menyerang serta menikam anggota polis terbabit yang kemudian terpaksa melepaskan satu das tembakan untuk mempertahankan diri.

“Suspek ketika itu dalam keadaan menunduk kerana mahu menikam anggota polis terbabit dan tembakan yang dilepaskan itu terkena tepat di kepalanya.

“Kita juga sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di premis berhampiran lokasi dan memang jelas menunjukkan suspek cuba menikam anggota polis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga belum mengetahui motif kejadian pertengkaran yang berlaku sebelum itu dan polis akan mengambil keterangan lanjut daripada pemandu teksi berkenaan.

“Hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai 15 rekod kesalahan lampau membabitkan sembilan kes jenayah dan enam kes dadah. Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.

– BERITA HARIAN – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.