Masih ada pegawai bantuan untuk Dato’ Sri Najib Razak – KPN

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menjelaskan beberapa orang pegawai pengiring termasuk seorang pegawai Aide De Camp (ADC) masih terus bertugas bagi mengawal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, selain seorang pegawai ADC, bekas perdana menteri mempunyai kelayakan-kelayakan tertentu mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk mendapatkan pemandu peribadi dan pegawai keselamatan.

“Kita akan tetapkan mengikut SOP yang ada, bekas perdana menteri dia ada kelayakan-kelayakan tertentu, kita akan akur.

“Macam ADC kita kekalkan termasuk untuk Datin Seri (Rosmah Mansur), ada pegawai keselamatan dan ada pemandu peribadi, (itu) kita akan kekalkan.

“Bukan semua pegawai pengiring akan ditarik balik, kita akan tetapkan pegawai seperti mana SOP,” katanya kepada pemberita.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi polis pengiring Najib]
Mohamad Fuzi berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sewaktu hadir ke Majlis Iftar Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Dalan Negeri bersama Warga PDRM di Masjid Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, Najib menerusi hantaran di Facebooknya menulis bahwa semua pegawai keselamatan, polis pengiring dan pegawai  bantuan ditugaskan  mengawalnya telah ditarik balik.

“Sejak beberapa minggu ini, kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC,” tulisnya.

– Sinar Harian –

Leave a Reply

Your email address will not be published.