Mak, nanti kita berbual lagi…

MUKAH: “Mak, nanti kita berbual lagi… saya ada tugasan sikit,” kata Allahyarham Yahya Ali, 24, kepada ibunya, Halimah Geronggong, 42, sebelum ditemui lemas bersama lima lagi rakan setugasnya malam tadi.
Anggota bomba itu sempat menghubungi ibunya di Kampung Tian, Matu, di sini untuk memohon restu sebelum melaksanakan misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lemas di lombong tinggal berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong.
Halimah ketika ditemui NSTP, berkata anak sulungnya itu ada menelefonnya untuk bertanya khabar, namun perbualan terakhir itu tidak lama sebelum arwah berjanji untuk menghubunginya semula selepas selesai tugasan.
“Dia memang rajin menelefon bertanya khabar saya dan suami. Namun, perbualan kami semalam tidak lama kerana saya juga ketika itu sedang sibuk memasak di dapur.
“Saya menunggu juga panggilannya malam tadi sehinggalah saya menerima perkhabaran yang anak saya terkorban dalam tragedi itu menjelang jam 12.30 tengah malam tadi,” katanya.
Yahya bertugas sebagai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berpangkalan di Klang.
Halimah yang cukup tenang menerima takdir itu berkata, anak sulungnya daripada empat beradik itu adalah harapan keluarga dan seorang yang sangat rapat dengannya.
Apa yang paling menyedihkan katanya, kejadian itu berlaku ketika adik-adik yang lain sedang sibuk menghadapi peperiksaan penting.
“Hampir setiap hari dia menelefon bertanya khabar kami sekeluarga, begitu juga perkembangan pelajaran adik-adiknya. Malah, setiap kali selepas operasi dia pasti akan memaklumkan perkembangannya kepada saya.
“Memang saya tahu dia terbabit dalam operasi itu, namun saya hairan mengapa dia tidak menelefon hingga lewat malam sehinggalah saya diberitahu dia terkorban ketika melaksanakan misi itu,” katanya.
Menurut Halimah, arwah bercita-cita untuk menjadi seorang anggota bomba sejak dari sekolah rendah kerana mahu membantu masyarakat, selain cukup mengagumi kerjaya itu.
Katanya, Allahyarham paling gembira selepas impiannya untuk menyarung pakaian seragam pasukan penyelamat itu tercapai.
“Kali terakhir dia pulang ke kampung pada 21 Julai lalu untuk menghadiri majlis perkahwinan saudaranya. Ketika itu, tidak ada sebarang perubahan malah, anaknya tetap ceria seperti biasa,” katanya.
Mengakui masih terkejut menerima berita kematian anaknya, Halimah berkata, dia tetap reda dan sabar dengan kejadian berkenaan
“Sebagai insan biasa, kita tidak dapat menolak ketentuan Ilahi… apa pun, kami sekeluarga berasa amat sedih kerana kehilangan insan yang kami sayang buat selama-lamanya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.