Low Yat: Empat jurujual telefon bimbit ditahan kerana merusuh

Video rakaman CCTV – Click

KUALA LUMPUR: Empat lagi individu yang merupakan jurujual telefon ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada Sabtu.

Tangkapan terhadap mereka dibuat sepasukan anggota polis di premis berkenaan petang tadi menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang ditangkap akibat kesalahan merusuh dalam kejadian itu sebanyak 24 orang.

Jumlah ini termasuk seorang anggota polis bantuan berpangkat konstabel yang ditahan pada tengah hari Selasa di sekitar ibu negara.

Menurut sumber polis, semua mereka ditahan mengikut Seksyen 147 dan 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Anggota berpangkat konstabel itu ditahan reman tiga hari sehingga Khamis ini.

Sementara itu menurut laporan The Star, ketibaan anggota polis untuk membawa kira-kira 30 orang mencetuskan panik di premis berkenaan.

Memetik seorang saksi, polis mula menahan pekerja daripada beberapa kedai sehingga memaksa kedai yang tidak mempunyai pekerja itu ditutup sementara.

Keadaan kemudiannya kembali tenang dan terkawal selepas dimaklumkan pengawal keselamatan plaza berkenaan.

Sebahagian besar mereka yang ditahan kemudiannya dibenarkan kembali ke tempat kerja.

Terdahulu Polis menahan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom, kira-kira jam 11.30 pagi Selasa bagi membantu siasatan berhubung kekecohan di Plaza Low Yat.

Dia yang lebih dikenali sebagai “Ali Tinju” ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana membuat ucapan berbaur perkauman di luar plaza itu pada Ahad malam.

Tangkapan pada Selasa menjadikan keseluruhan individu yang ditangkap adalah 25 orang membabitkan kesalahan merusuh dan Akta Hasutan.

Sumber: AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published.