Lori bauksit: Pengguna Facebook Mohon Maaf kerana FITNAH Polis

 

KUANTAN – Polis menyangkal dakwaan berhubung pihaknya menasihatkan ahli keluarga mangsa satu kejadian kemalangan lori bauksit baru-baru ini supaya menarik kes tersebut seperti yang sedang diviralkan di laman sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dakwaan tersebut yang dimasukkan dalam laman sosial Facebook merupakan perbuatan fitnah yang mencemarkan nama baik pegawai polis.

Menurutnya, pihak polis sentiasa bertungkus lumus menyiasat kes terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan, namun dakwaan sedemikian dilemparkan kepada anggota keselamatan itu.

“Pengguna akaun Facebook tersebut telah  membuat pengakuan maaf pada hari yang sama selepas dakwaan tersebut dilakukan.

“Namun begitu satu laporan polis telah dibuat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

“Individu tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya menghentikan perbuatan memfitnah berkaitan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan dan mereka boleh dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Aziz dalam sidang media itu menjelaskan, kejadian kemalangan yang berlaku pada malam 18 Oktober lalu menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera selepas berlanggar sebuah lori treler dipercayai lori bauksit yang keluar dari simpang tiga stesen minyak Caltex Gebeng di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan.

“Kita masih berusaha untuk mengenal pasti pemandu lori berkenaan dan nombor pendaftaran diberikan oleh saksi kejadian yang merupakan rakan mangsa didapati adalah silap.

“Polis masih giat mengesan pemandu lori bertanggungjawab,” katanya.

– SINAR HARIAN –


Leave a Reply

Your email address will not be published.