Lima lelaki tahan kereta polis diburu [VIDEO]

SEREMBAN 14 April – Polis sedang memburu lima lelaki dipercayai penyokong sebuah parti politik yang bertindak menahan dan memeriksa kereta peronda polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, Rembau semalam.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, polis telah mengenal pasti lima lelaki terbabit berdasarkan rakaman video yang tular dalam media sosial serta laporan oleh anggota polis terlibat.

“Kejadian berlaku semasa dua anggota polis masing-masing berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau kira-kira pukul 6 petang.



“Semasa di tempat kejadian, kenderaan polis dinaiki mereka didatangi lima lelaki yang meminta supaya membuka but kenderaan itu kerana mengesyakinya membawa kertas lebihan undi.

“Anggota polis itu membuka but kenderaan kerana tidak mahu berlaku sebarang kekecohan berikutan jumlah penyokong yang ramai ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dekat sini hari ini.

Mohamad berkata, kelima-lima lelaki itu kemudian mendapati tiada sebarang kertas lebihan undi dalam but kenderaan polis tersebut lalu meminta maaf kepada anggota polis berkenaan.

Menurutnya, beliau kesal dengan insiden berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – UTUSAN ONLINE



(Visited 283 times, 1 visits today)