KANGAR – Media sosial akan menjadi platform utama calon BN Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana masih dalam tempoh edah selepas kematian suami.
Ketua Puteri UMNO itu yang kematian suami pada 20 Ogos lalu itu masih menjalani tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana yang ditetapkan hukum Islam.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Besar, Asmaiza Ahmad berkata, perkara itu bagaimanapun tidak menghalang BN untuk mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Padang Besar.
Menurutnya, kelima-lima penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Padang Besar yang dicalonkan semula pada PRU15 juga sudah sepakat untuk membantu Zahida memenangi pilihan raya ini.
“Zahida sudah berada di sini sejak semalam (Khamis) untuk menyelesaikan hal berkaitan pencalonannya. Beliau juga sudah berjumpa dengan jentera-jentera pilihan raya di Padang Besar ini untuk bersama-sama mengatur gerak kerja.
“Memandangkan Zahida masih dalam edah, beliau akan berkempen menggunakan media sosial. Ini kerana kita mahu mendapatkan pandangan ulama berhubung perkara ini.
“Pada masa sama, kami di UMNO Bahagian Padang Besar sudah sepakat untuk membantu kempen beliau dan akan ada wakil calon yang akan turun padang dalam memastikan kemenangan kerusi Parlimen Padang Besar kekal milik BN,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Asmaiza yang juga calon BN kerusi DUN Chuping memberitahu, pihaknya sudah menggerakkan jentera sayap wanita bagi memastikan usaha meraih undi berjalan lancar.
– Sinar Harian –