Lelaki sunyi diperdaya untuk berbogel sebelum diugut

Johor Bahru: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor menerima 367 aduan berkaitan pemerasan membabitkan ugutan penyebaran video bogel lelaki ‘kesunyian’ berusia 20 hingga 40-an.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sehingga kini, 144 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian RM500,000 sehingga RM1 juta.


Beliau berkata, mangsa yang berstatus bujang dan berkahwin diperdaya menerusi media sosial MiChat, WeChat dan aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, taktik sindiket adalah menyamar sebagai wanita menerusi aplikasi media sosial dan ingin mencari kenalan baru.

“Lelaki yang kesunyian menjadi sasaran mereka malah ada yang sanggup berbogel ketika berkomunikasi.

“Perbuatan mangsa dirakam sindiket yang kemudiannya mengugut akan menyebarkan video rakaman sekiranya mangsa gagal menyerahkan sejumlah wang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut beliau, dalam kebanyakan kes, sindiket mempengaruh mangsa untuk melakukan adegan lucah sebelum merakam perbuatan itu.


“Mangsa diminta membuat pembayaran sekiranya mahu melindungi imej dan maruah serta mengelak video disebar,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, polis menerima laporan berkaitan kes seperti itu sejak awal 2021.

Beliau berkata, susulan itu, menerusi Op Bugil, polis menahan tujuh individu membabitkan antaranya tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing baru-baru ini.

“Suspek berusia 25 hingga 54 tahun dan ditahan di sekitar Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur serta Johor.

“Sehingga kini, 25 kes berjaya diselesaikan dan kami masih mengesan beberapa ahli sindiket,” katanya.

– HARIAN METRO –


(Visited 1,685 times, 1 visits today)